Dilahirkan pada 02 Oktober 1974 di Selising, Raub, Pahang tetapi menetap di Kelantan semenjak tahun 1983. Puan Rahmatul Aida kemudian meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1997. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian pada peringkat Diploma Pendidikan juga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2001. Beliau kemudian melanjutkan pengajian pasca ijazah sehingga mendapat Ijazah Sarjana Kepengetuaan (Master of Principalship) dari Universiti Teknologi Mara (Uitm) Kota Samarahan, Sabah pada tahun 2013.

Perkhidmatan Puan Rahmatul Aida dengan MARA bermula pada Januari 1999 dengan berkhidmat di MRSM YT Besut, Terengganu selaku Guru Matematik. Beliau kemudian berpindah ke MRSM Kuala Lipis, Pahang pada tahun 2003 atas jawatan yang sama. Pada tahun 2005, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Matematik MRSM Kuala Lipis sehingga tahun 2010.

Pada tahun 2011, Puan Rahmatul Aida telah dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke MRSM Mukah, Sarawak untuk dilantik sebagai Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat (TPPB) sehingga tahun 2015. Kemudian pada tahun 2015, Puan Rahmatul Aida dilantik pula sebagai Timbalan Pengetua Kemahiran Akademik (TPKA) di MRSM Bentong, Pahang.

Pada tahun 2018, atas kepercayaan yang tinggi daripada pihak Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dan MARA, Puan Rahmatul Aida telah dilantik sebagai Pengetua di MRSM Lenggong, Perak. Beliau adalah Pengetua MRSM Lenggong yang ke-6.

 Antara pencapaian beliau ialah Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Melintang) 1997 dan 2003 semasa berkhidmat di MRSM YT Besut, Terengganu. Beliau juga berjaya dengan cemerlang sehingga mendapat Ijazah Sarjana Kepengetuaan (Master of Principalship) dari Universiti Teknologi Mara (Uitm) pada tahun 2013.

Antara sumbangan utama sepanjang perkhidmatan dalam MRSM dan MARA adalah kemampuan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidikan MARA dalam memberi didikan dan bimbingan kepada pelajar-pelajar yang pernah mengikuti kelas Matematik beliau sehingga beroleh kejayaan yang dibanggakan. Atas sokongan dan dorongan rakan-rakan sekerja dan keluarga telah memberi keyakinan kepada beliau untuk menjawat jawatan Pengetua MRSM Lenggong.

Adalah menjadi harapan beliau selaku Pengetua agar MRSM Lenggong menjadi sebuah organisasi yang amanah, unggul dan diberkati. Beliau juga mengharapkan agar MRSM Lenggong mampu mencapai prestasi akademik yang cemerlang dan berkualiti di samping mempunyai prasarana yang lengkap bagi membangunkan modal insan dan bakat para pelajar dalam pelbagai bidang sebagai persiapan kepada para pelajar di Abad ke-21 ini.