Laman Utama > Kemudahan

Kemudahan

Pentadbiran
25 May 2015 05:48 PM
adminac

Pentadbiran merupakan satu blok utama yang menempatkan semua unit berkaitan hal-hal pentadbiran dan pengoperasian di MRSM Lenggong. Ia merangkumi bilik Pengetua, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Timbalan Pengetua Ko Kurikulum, Penolong Pegawai Tadbir (Kanan) dan juga bilik operasi Unit Penilaian dan Peperiksaan (UPPM).

Dalam blok pentadbiran ini juga menempatkan bilik mesyuarat, bilik seminar, bilik cetak, stor pusat (alatulis), surau dan bilik utiliti. Segala kemudahan yang terdapat di sini di susun atur menggunakan kaedah 5S (sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal).

Bilik Seminar
25 May 2015 05:44 PM
adminac

Bilik seminar MRSM Lenggong adalah bersaiz sederhana besar, dan boleh menempatkan sehingga 150 orang pada satu masa. Ia terletak di paras bawah blok pentadbiran.

Bilik seminar ini dilengkapi dengan kemudahan audio-visual, LCD dan laptop yang dipasang siap dan sentiasa digunakan untuk pelbagai program dan acara.

Bilik Mesyuarat
25 May 2015 05:44 PM
adminac

Bilik mesyuarat MRSM Lenggong yang juga terletak di paras bawah blok pentadbiran, telah diinovasikan dengan susun atur terkini bercirikan masa hadapan. Ia adalah bersaiz sederhana besar, dan boleh menempatkan sehingga 70 orang pada satu masa. Suasana susun atur yang menarik menjadikan sesi mesyuarat berlangsung dengan tenang dan penuh bermaklumat.

Bilik mesyuarat ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan audio-visual, LCD dan laptop yang dipasang siap dan sentiasa digunakan setiap kali sesi mesyuarat 'adhoc', mesyuarat pengurusan, muafakat, guru dan staf, dan sebagainya.

Dewan Selera
23 May 2015 07:01 AM
adminac

Dewan selera MRSM Lenggong adalah bersaiz besar dan mampu menampung kapasiti seramai 1000 orang pada satu masa. Kedudukannya amat strategik dengan berada di tengah antara asrama lelaki dan asrama perempuan, serta hampir dengan surau maktab.

Dewan selera pada masa kini telah diinovasikan dengan pembinaan satu sudut khas untuk ruang makan pemimpin pelajar seperti Badan Wakil Pelajar (BWP) dan Lembaga Disiplin Pelajar (LDP), serta jamuan khas seperti meraikan kejayaan pelajar dalam akademik dan ko kurikulum.

Pada masa kini, penyediaan makanan di dewan selera MRSM Lenggong dikendalikan oleh kontraktor XXX yang telah beroperasi selama dua tahun. Sehingga ini, kualiti makanan yang disediakan adalah bermutu dan berkualiti.

Dewan Besar
23 May 2015 06:00 PM
adminac

Dewan Besar MRSM Lenggong adalah bersaiz besar dan mampu menampung kapasiti seramai 1000 orang pada satu masa. Kedudukannya amat strategik dengan berada di hadapan padang utama serta mempunyai tempat letak kereta yang luas.

Dewan Besar juga telah dilengkapi dengan kemudahan audio-visual, LCD dan laptop yang dipasang siap dan sentiasa digunakan untuk pelbagai program, acara, peperiksaan, seminar, taklimat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), PPD, PT3, SPM dan pelbagai lagi.

 

Dataran Usahawan
23 May 2015 05:47 PM
adminac

Dataran usahawan merupakan suatu tempat atau sudut khas untuk para pelajar menjalankan jualan atau beraktiviti pada hari minggu. Tercetusnya idea bagi mewujudkan dataran usahawan ini adalah hasil buah fikiran Pengetua iaitu Hj Sulaiman bin Yusof.

Objektif mewujudkan dataran usahawan ini adalah bagi merealisasikan hasrat MARA untuk menerapkan ciri-ciri usahawan di kalangan para pelajar MRSM.

Di dataran ini terdapat 8 buah gerai yang dikendalikan di bawah Koperasi MRSM Lenggong. Pelajar bebas menjual produk mereka samada secara individu atau berkumpulan seperti kelas, persatuan, kelab atau homeroom. Namun begitu, kawalan atau peraturan penyediaan makanan mengikut kelulusan Kementerian Kesihatan perlu dipatuhi bagi menggelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Dataran Pelajar
04 June 2015 08:26 AM
adminac

Dataran pelajar terletak di laluan utama pelajar dan di sebelah bilik Kaunselor. Dataran ini dilengkapi dengan kemudahan perabot, kerusi, meja, rak buku, rak kasut dan majalah.

Dataran pelajar ini diinovasikan khas bagi memberi ruang kepada pelajar untuk beraktiviti atau beriadah. Di sini, para pelajar boleh mengulangkaji pelajaran, berbincang, bermesyuarat, perjumpaan kelab atau persatuan, perjumpaan homeroom, mengadakan jamuan tahunan atau sebagainya.

Makmal Komputer
07 April 2016 11:29 AM
adminac

Terdapat 2 Makmal Komputer iaitu Makmal Komputer 1 & Makmal Komputer 2 di mana setiapnya terdapat 30 komputer pelajar dan 1 komputer guru.

Dilengkapi dengan kemudahan LCD, scanner, internet, pencetak laser dan warna untuk kegunaan pembelajaran dan pelajar. Waktu penggunaan adalah fleksibal bergantung kepada permintaan pelajar. Keutamaan penggunaan adalah pada bekerja.

Mini Exotic Zoo
07 February 2016 11:28 PM
adminac

Mini Exotic Zoo merupakan hasil ilham dan idea kreatif Pengetua MRSM Lenggong, dalam menfaatkan segala sudut dan ruang yang ada dalam kawasan maktab. Rekabentuk dan struktur pembinaan mini zoo ini datang secara spontan setelah beliau melakukan lawatan di sekitar maktab.

Dengan kos yang paling minimum serta mendapat sokongan seluruh warga maktab, akhirnya mini zoo ini berjaya dibuka kepada orang ramai khasnya masyarakat sekitar Lenggong. Kewujudan mini zoo ini berupaya menambah satu lagi produk pelancongan di sekitar Lenggong, terutamanya kepada para ibu bapa yang datang melawat para pelajar MRSM Lenggong.

Setakat ini pelbagai spesis burung, kancil, kijang, burung unta dan landak. Produk utama yang datang dari mini zoo ini adalah madu kelulut yang semakin mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Terdapat hampir 100 sarang kelulut yang berjaya mengeluarkan hasil dan pendapatan setakat ini.

Dengan persekitaran yang teramat sesuai ini, mini zoo ini mampu memberi nilai tambah kepada para pelajar untuk beriadah dan mengurangkan tekanan yang dihadapi seharian dalam pembelajaran. Tahniah dan syabas kepada seluruh warga MRSM Lenggong.

Makmal Bitara
07 April 2016 11:41 AM
adminac

Terdapat sebuah Makmal Bitara yang bertempat di sudut atas Pusat Sumber Pembelajaran. Terdapat 30 komputer pelajar dan 1 komputer guru.

Dilengkapi dengan kemudahan LCD, scanner, internet, pencetak laser dan warna untuk kegunaan pembelajaran dan pelajar. Waktu penggunaan adalah fleksibal bergantung kepada permintaan pelajar. Keutamaan penggunaan adalah pada waktu pejabat.

Pusat Sumber
07 April 2016 11:53 AM
adminac

Pusat Sumber MRSM Lenggong terletak di aras dua dan tiga blok akademik. Ia merupakan pusat pembelajaran bersepadu yang mengandungi pelbagai bahan bacaan dan sumber pembelajaran dalam bentuk bahan cetak, bukan cetak dan digital.

Pusat sumber diuruskan secara sistematik dan efisyen bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan MARA.

Pelajar dibenarkan untuk meminjam pelbagai jenis bahan bacaan mengikut kuota yang ditetapkan oleh pihak pengurusan pusat sumber. Pusat sumber ini dibuka sepanjang masa termasuk waktu malam yang hanya dikhaskan untuk pelajar Tingkatan 3 dan 5 sahaja. Masa operasi adalah keutamaan pada waktu bekerja. Manakala pada sebelah malam dibuka sehingga 11.00 malam.

 

Surau
29 May 2016 01:07 AM
adminac

Kemudahan surau MRSM Lenggong terletak di tingkat atas dewan selera. Lokasinya amat strategik iaitu berada di tengah asrama lelaki dan asrama perempuan. Segala aktiviti kerohanian dan solat jamaah diadakan di surau maktab ini sepanjang masa.

Surau yang berkapasiti 700 orang pada satu masa ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti penghawa dingin, sistem audio, skrin layar besar dan LCD.

Kafetaria
21 May 2015 11:09 PM
adminac

MRSM Lenggong turut dilengkapi dengan kemudahan kafeteria bagi kemudahan guru dan staf bersarapan, makan tengah hari dan minum petang.

Penyediaan makanan dan minuman berkualiti menjadikan kafeteria mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada pelajar, guru dan staf.

Namun begitu, kawalan atau peraturan penyediaan makanan mengikut kelulusan Kementerian Kesihatan perlu dipatuhi bagi menggelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Koperasi
07 February 2016 05:04 PM
adminac

Koperasi MRSM Lenggong yang dinamakan sebagai Koperasi MRSM Lenggong Berhad menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh warga maktab. Pelbagai jenis barangan ada dijual di sini merangkumi keperluan harian, makanan, minuman, utiliti, pakaian seragam, tali leher, samping, cadar, dan sebagainya.

Perkhidmatan dobi maktab turut disediakan oleh koperasi ini. Pelajar-pelajar boleh menghantar pakaian mereka mengikut giliran atau jadual penghantaran yang ditetapkan.

Bilik Muzik
23 May 2015 06:26 PM
adminac

Bagi mengembangkan bakat dan potensi diri pelajar MRSM Lenggong, sebuah bilik muzik yang berukuran sederhana besar telah diwujudkan pada awal tahun ini yang terletak di belakang Dewan Besar. Idea mewujudkan bilik muzik ini tercetus hasil ilham Pengetua, yang melihat perlunya disediakan satu ruang khas bagi pelajar-pelajar menonjolkan bakat dan minat dalam bidang ini.

Bilik muzik ini telah dirasmikan oleh Pengerusi MARA, iaitu Tan Sri Haji Annuar bin Haji Musa semasa lawatan beliau ke Pusat Kepimpinan Pelajar (PUSKEP) dan juga ke MRSM Lenggong pada 6 Mac 2015.

Bilik muzik ini terbuka kepada semua pelajar tetapi keutamaannya adalah untuk pelajar-pelajar yang terlibat dalam kelab muzik. Manakala pelajar-pelajar lain boleh menggunakannya pada hujung minggu atau pada masa terdapatnya acara-acara tertentu yang memerlukan pelajar membuat persembahan.

Pelbagai peralatan terdapat di dalam bilik muzik ini gitar, drum, bass, piano, alatan nasyid dan sebagainya. Bilik ini turut dilengkapi dengan sistem audio dan penyerap bunyi.

Gelanggang Permainan
23 May 2015 07:03 PM
adminac

MRSM Lenggong mempunyai sedikit kelebihan dari segi kedudukan gelanggang permainan kerana jarak antara setiap gelanggang adalah berdekatan antara satu sama lain.

Terdapat pelbagai gelanggang permainan iaitu gelanggang bola jaring, badminton dalam dewan besar, sepak takraw, petanque, bola keranjang, tenis, bola tampar, hoki, bola sepak, trak jogging, litar lumba kereta kawalan jarak jauh (remote control) dan gelanggang ragbi.

Pihak MRSM Lenggong tidak keberatan untuk memberi kebenaran kepada pihak lain seperti masyarakat komuniti, daerah, negeri atau MRSM lain untuk menggunakan gelanggang permainan di samping dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Pelbagai acara kejohanan samada peringkat MRSM, daerah atau negeri telah diadakan setiap tahun di beberapa gelanggang MRSM Lenggong ini.

Bilik Robotik
25 May 2015 05:54 PM
adminac

Bilik robotik disediakan khas kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam kelab robotik. Semua aktiviti kelab samada perjumpaan, pembinaan dan penyelenggaraan robot dilakukan di sini. Dengan adanya bilik robotik ini, ianya berupaya memenuhi keperluan para pelajar yang terlibat dalam bidang inovasi berkemahiran tinggi ini.

Di samping pengembangan bakat dan potensi dalam bidang muzik, sukan, kelab, persatuan, badan uniform, kepimpinan dan sebagainya, bidang robotik ini juga dilihat mampu melahirkan pelajar-pelajar yang kreatif dan berfikiran kritis. Ini selari dengan hasrat negara yang menggalakkan pelajar-pelajar berinovasi.

Litar Remote Control
07 April 2016 11:17 AM
adminac

Litar remote control (RC) atau kawalan jauh merupakan satu lagi kemudahan yang terdapat di MRSM Lenggong, khas untuk pelajar-pelajar yang berminat dalam sukan permainan kereta atau motor menggunakan kawalan jauh.

Keutamaan penggunaan litar adalah kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam kelab ini. Namun penggunaan litar adalah terbuka kepada pelajar-pelajar lain pada waktu riadah, hujung minggu atau cuti am. Pelajar boleh membawa kereta kawalan mereka sendiri atau menyewanya dari kelab RC.